5 Mei 2017 - 17:43
Warga Turki Ke-3 Ditahan Di Malaysia

Pihak polis Malaysia telah menahan seorang lagi warga Turki yang didakwa mereka mengancam keselamatan negara sekaligus menjadikan angka mereka yang ditahan setakat ini mencecah 3 orang.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pihak polis Malaysia telah menahan seorang lagi warga Turki yang didakwa mereka mengancam keselamatan negara sekaligus menjadikan angka mereka yang ditahan setakat ini mencecah 3 orang.

Ismet Ozcelik, seorang pengarah kepada sebuah universiti Turki ditahan pada hari Khamis, kata ketua polis negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Sebelum itu, dua orang warga Turki ditahan pada hari Selasa di Malaysia berikutan dakwaan menyalurkan dana kepada kumpulan pengganas yang mempunyai hubungan dengan kumpulan Takfiri Daesh, lapor media.

Khalid berkata bahawa suspek "mengancam keselamatan kami... datang ke sini dan cuba menganggu ketenteraman."

Peguam Ismet Ozcelik. Rosli Dahalan walau bagaimanapun berkata anak guamnya ditahan tanpa sebarang sebab rasmi.

Ismet Ozcelik sebelumnya ditahan pada bulan Disember di atas dakwaan menghalang petugas imigresen daripadan menjalankan tanggungjawab mereka. Dia kemudiannya dibebaskan dengan jaminan pada bulan Januari.

Media Turki sebelumnya melaporkan bahawa kedua-dua mereka yang ditahan mempunyai kaitan dengan ulama pembangkang, Fethullah Gulen yang dituduh Presiden Recep Tayyip Erdogan sebagai dalang kepada percubaan rampasan kuasa Julai lepas di Turki.

Khalid walau bagaimanapun berkata penahanan itu dibuat bukan berdasarkan permintaan kerajaan Turki.

"Kenapa pula kami harus menunggu arahan dari luar? Kami memiliki undang-undang kami negara kami sendiri," tambahnya. -ABNA24

/315